Wednesday 26 August 2015

Kenali Kaum Iban

KENALI KAUM IBAN

Asal Usul Kaum Iban

Kaum Iban dahulu dikenali sebagai Dayak Laut dan dengan jumlah sebanyak 876,000 iaitu 40% daripada jumlah penduduk Sarawak. Kaum Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak. Mereka mendiami di daerah Lundu di barat dan Limbang di timur laut. Tetapi kepadatan penduduk Iban adalah di bahagian Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri. Kebanyakan kaum Iban tinggal di rumah panjang yang kebiasaanya terletak di tebingan sungai dan di tepi jalan raya. Ini adalah bagi mempermudahkan aktiviti kerja, berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. Amalan cara hidup yang diamalkan adalah berlandaskan hukum adat, pantang-larang, tolak-ansur (toleransi) dan berteraskan perhubungan persaudaraan yang erat antara satu sama lain. Kebanyakan masyarakat Iban pada hari ini menerima agama Kristian sebagai pegangan tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan nilai adat resam dan ciri-ciri kebudayaan yang menjadi lambang tradisi masyarakat Iban. Sarawak mempunyai 112 jenis suku Dayak.





Tarian Ngajat

Tarian ngajat adalah merupakan  indentiti  utama masyarakat Iban yang menjadi kebanggaan kebudayaan di Sarawak. Keunikan dalam setiap persembahan tarian ngajat inilah menjadikan suku kaum ini terlalu istimewa dan tersendiri. Keindahan tarian ngajat yang terdapat dalam masyarakat ini adalah unik dan asli kerana ianya merupakan satu indentiti komuniti Iban yang penuh dengan dunia mistik dan keajaiban serta membezakan kaumnya dari suku-suku kaum pribumi lain di Sarawak.

Tarian Hari Gawai

Biasanya, Tarian Ngajat ditarikan dalam sambutan Hari Gawai sebagai tanda kesyukuran dalam hasil menuai padi sepanjang tahun ini.  Perayaan Gawai ( Pesta Menuai ) merupakan perayaan utama bagi suku kaum Iban yang merupakan 30% daripada jumlah penduduk Sarawak dan ethnik yang terbesar di negeri tersebut yang disambut pada awal bulan Jun setiap tahun.
Ngajat bagi orang-orang Iban ialah tarian semasa menyambut Hari Gawai sebelum berperang dan  selepas musim menuai. Pada zaman dahulu tarian tersebut ditarikan selepas mereka kembali dari berperang. Ngajat dengan kata lain adalah sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum Iban di Sarawak.


Makanan Tradisional


MANUK PANSUH atau ayam yang di masak di dalam buluh juga merupakan salah satu daripada makanan tradisi orang Iban. Biasanya masyarakat iban akan menggunakan ayam tua untuk dibuat "pansuh". makanan ini sedap dijadikan lauk dan "tabas" semasa perayaan. Daun ubi akan di diletakan pada hujung buluh untuk menghasilkan bau wangi.






Sayur midin atau "kemiding" merupakan salah satu daripada makanan kampung yang boleh didapati di tepi semak. "kemiding" selalunya akan di masak dengan sambal belacan. Namun makanan ini bukan saja boleh didapati di kampung bahkan di bandar .  Terdapat Pelbagai cara untuk memasak sayur midin ini. 

KASAM IKAN atau "Pekasam" sangat dikenali bagi suku kaum masyarakat iban. Tidak sah kalau suku iban menghidang makanan tanpa pekasam di sisi. Selalunya, ikan akan  diperam selama sebulan sebelum di makan, makin lama peraman makin sedap rasa isinya. Selain itu, pelbagai jenis ikan boleh digunakan untuk di jadikan pekasam seperti ikan semah, baong, lampam jawa, tengadak, sepat dan apa apa saja jenis ikan sungai. selain daripada itu juga, ramai masyarakat tidak dapat menerima makanan ini kerana baunya, tetapi sesetengah lagi dapat meneriamanya dengan baik.

Pekasam ensabi makanan tradisional kegemaran orang Iban merupakan sayur sawi dibuat jeruk hingga menjadikannya sebagai pekasam. Pekasam ensabi juga dikenali sebagai "kasam ensabi" oleh masyarakat iban. Rasanya yang masam dan sedikit masin amat sedap dinikmati dengan hidangan nasi panas dan dicampur dengan limau. Rasanya akan membuat kita ingin menambah nasi.  Kini hidangan yang diwarisi sejak zaman nenek moyang terus digemari hingga generasi sekarang.

Perayaan Hari Gawai
"Gayu Guru Gerai Nyamai"
Perayaan Hari Gawai disambut oleh suku kaum Dayak di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi iaitu pada akhir bulan Mei ataupun awal bulan Jun. Sejarah perayaan Hari Gawai Dayak bermula apabila sebuah forum dikelolakan di sebuah stesen radio pada tahun 1957 bagi membincangkan kepentingan mewujudkan suatu perayaan bagi suku kaum Dayak di Sarawak. Semasa pemerintahan British, pihak kolonial enggan mengiktiraf perayaan tersebut sehinggalah digazet secara rasmi oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada 25 September 1964 dengan usaha Dato Sri Tra Zehnder dan beberapa pemimpin Dayak yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri pada masa tersebut. “Hari Gawia” dalam dialek Bidayuh, pertama kali disambut pada tarikh 1 Jun 1965 oleh Dayak Youth Club dan kini menjadi simbolik yang memperlihatkan perpaduan, aspirasi dan harapan kaum Dayak di Sarawak. 









Pada asalnya Hari Gawai adalah perayaan yang lebih berbentuk keagamaan bagi suku kaum Dayak yang terdiri daripada tiga suku kaum utama termasuklah Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai tanda berterima kasih kepada 'Petara' pada setiap kali selepas musim menuai dan sebelum memulakan penanaman padi untuk musim seterusnya. Perayaan Gawai Dayak menuntut masyarakatnya menghargai budaya dan memastikan ‘semangat’ padi sentiasa dan terus dihormati.

Persediaan awal sebulan sebelum perayaan biasanya menyediakan air tapai yang dikenali sebagai Tuak. Pada sehari sebelum perayaan pula, kaum wanita akan sibuk bekerjasama membuat kuih tradisional seperti kuih penyaram, kuih sepit, kuih jala, kuih cap dan penganan yang diperbuat daripada tepung beras dan santan kelapa. Pansuh ayam menjadi kemestian untuk juadah bersama keluarga ataupun tetamu yang datang berkunjung. Dalam pada itu, golongan tua akan mula membakar lemang pulut di pekarangan rumah bagi kegunaan adat istiadat terutamanya upacara miring yang akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan.
                          Teresang akan didirikan di perkarangan rumah untuk digunakan semasa Adat Miring

Ketika perayaan Gawai, setiap suku kaum Dayak lengkap berpakaian tradisional masing-masing dengan motif dan corak yang unik serta menonjolkan lagi kecantikan semulajadi paras rupa mereka. Anak-anak gadis akan mengenakan perhiasan perak dan gubahan manik yang diwarisi sejak turun-temurun serta memiliki seni estetika yang cukup mengagumkan. Khazanah yang eksotik ini menjadi kebanggaan bagi setiap suku kaum Dayak kerana ia merupakan peningggalan yang telah diwarisi dari generasi ke generasi.

Penduduk rumah panjang mula ziarah-menziarahi ataupun dalam dialek tempatan “ngabang” ke rumah kawan-kawan mahupun sanak saudara yang lain sementara anak-anak yang bekerja di bandar akan pulang ke kampung untuk bersama-sama memeriahkan hari yang mengeratkan perpaduan sesama bangsa. Suku kaum Dayak yang tinggal di kawasan kampung akan mengadakan rumah terbuka dan mengunjungi rumah sahabat handai serta saudara mara yang terdekat untuk mengeratkan tali kemesraan.


                                            ngabang ke rumah bala kaban belayan

Upacara Gawai Teresang Tinggi

Pada waktu tengah malam 31 Mei pula, gong akan dipalu dan Tuai Rumah akan mengetuai upacara minum Ai Pengayu bagi memohon berkat kepada “Petara” demi kehidupan yang lebih baik dan tanda kesyukuran bagi hasil tuaian pertanian yang menguntungkan. Upacara miring akan dilakukan yang menurut kepercayaan daripada golongan tua, bertujuan untuk memberi persembahan kepada Tuhan yang dikenali sebagai Petara, Dewa Dewi Kayangan dan juga dipersembahkan kepada jasad-jasad nenek moyang dikenali sebagai “Petara Aki Ini”. Ketua Adat akan membaca mantera yang khusus untuk upacara ini dan melumur darah ayam jantan pada bahan persembahan. Selepas upacara ini, perayaan Gawai Dayak akan bermula secara rasmi.

Di musim perayaan Gawai, banyak pertandingan kecantikan bagi memilih rupawan yang bukan sahaja memiliki rupa paras yang cantik dan menarik malah mempunyai pengetahuan yang luas. Keindahan busana tradisi mereka terletak pada keaslian tenunan pua kumbu yang disarungkan serta aksesori perak yang bergemerlapan ketika menarikan Tarian Ngajat.

Pesta Gawai Dayak dianggap berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat diturunkan. Majlis Ngulung Bidai seterusnya akan dilakukan yang memberi signifikan perayaan telahpun tamat dan bersedia menempuh tahun baharu dan memulakan penanaman padi di kawasan yang baharu.

Kepercayaan
Dalam kepercayaan Iban, mereka berpegang kepada adat yang diwarisi turun temurun dan beasr kemungkinan ditulis di dalam 'Papan Turai' oleh 'Tuai Raban Bansa' atau "Paramount Chief" dengan berpandukan nasihat 'Manang' dan 'Lemambang'.
Orang Iban percaya kepada kwujudan seorang Tuhan yang agung (Bunsu Petara) yang mencipta dunia ini dan alam semesta. Di bawah Tuhan agung ini, orang Iban percaya ada tujuh orang dewa yang sentiasa dihitung sebeum memulakan biau dan sampi dengan nama=nama berikutnya:
  • Sengalang Burong sebagai dewa Peperangan
  • Biku Imam Bunsu Petara sebagai dewa keagamaan
  • Menjaya sebagai dewa perubatan
  • Selempandai/Selempetoh/Selempeta sebagai dewa pembuatan
  • Sempulang Gana/Semerugah sebagai dewa pertanian dan tanah
  • Ini Inee/Andan sebagai pemyembuh semulajadi dan dewa keadilan
  • Anda Mara/Gangga Ganggong sebagai dewa kekayaan.
Orang Iban percaya bahawa semua binatang yang hidup, tumbuhan dan barangan fizikal seperti bukit, gunung, sungai, air, ribut dan sebagainya mempunyai semengat atau roh masing-masing. Mereka juga percaya kepada orang Panggau Libau dan Gelong sperti Keling dan Laja, dan Kumang dan Lulong. Juga disembah oleh orang Iban adalah roh-roh nenek moyang yang telah meninggal untuk meminta pertolongan semasa Gawai Antu.
Ilmu firasat lama orang Iban bergantung kepada beberapa cara seperti berikut:
  • Mimpi yang baik atau buruk
  • Binatang bisa
  • Burung bisa yang sengaja dicari atau dijumpai tidak sengaja
  • Hati babi yang dibaca baik buruk maksudnya.
Contohnya apabila hendak membuka penempatan dan mendirikan rumah, kawasan tanah yang hendak didirikan rumah tersebut hendaklah disemak terlebih dahulu. Mereka juga percaya pada petanda-petanda lain seperti bunyi burung ketupung dan burung beragai. Bunyi yang dikeluarkan oleh binatang-binatang ini adalah petunjuk dan alamat untuk menentukan kesesuaian tapak. Semua petanda akan ditafsirkan oleh 'Beliau' dan 'Manang' bagi mematuhi adat supaya tidak mendatangkan malapetaka.
Mimpi merupakan salah satu sumber alamat tentang sesuatu yang bakal terjadi di masa akan datang dan diterjemah oleh Beliau dan Manang. Bagi menghidar alamat yang boleh mendatangkan malapetaka, biasanya upacara 'Ngintu Burung' dan 'belian' akan dijalankan mengikut 'Adat' yang dirujuk kepada Tuai Raban Bansa.

Sekian, terima kasih.

Pengalaman
Pengalaman saya dalam Kelab Kebudayaan 2015 ialah saya dapat mempelajari pelbagai jenis tarian tradisional yang terdapat di seluruh Malaysia. Walaupun agak kekok pada mulanya, namun dorongan daripada guru kelab kebudayaan tidak mematahkan semangat kami untuk menari tarian pelbagai bangsa. semoga kelab kebudayaan 2015 ini terus aktif dalam mengajar pelbagai kebudayaan yang terdapat di Malaysia.